Thursday, November 12, 2009

TENGKOLOK (ARCA SAYA)

TENGKOLOK atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan sering juga diperagakan di pelbagai acara dalam adat istiadat bangsa kita. Ia merupakan pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu semenjak beberapa kurun lamanya. Raja-Raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan berbagai bentuk ini sejak pemerintah Kesultanan Melayu. Ia seperti juga mahkota yang dipakai oleh mana-mana raja diseluruh dunia, membawa maksud dan melambangkan kekuasaan seseorang raja atau sultan.

Destar atau tengkolok dikenakan oleh sultan dan raja di semua negeri di Malaysia selain yang dipakai juga di Sabah dan Sarawak sungguhpun negeri tersebut tidak beraja.
Tengkolok juga merupakan sebahagian pakaian penting dalam persilatan Melayu serta lambang kepahlawanan. Hulu balang dan pahlawan melayu memakai tengkolok sebagai pelengkap kepada kehebatan dan kepahlawanan yang dimiliki disamping sebilah keris yang menjadi lambang kesatriaan dan keperkasaan.

Dalam majlis yang dihadiri raja dan sultan, hadirin hanya boleh memakai jenis dan warna destar tertentu sahaja. Pemilihan yang salah akan merosakkan majlis dan dianggap tidak beradab. Destar dipakaikan hiasan dengan tujuan tertentu mengikut kesesuaian jenis kain, warna tanah dan ragam hias yang dikenakan.

Pemakaian tengkolok tidaklah dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Pemakainya mesti mematuhi beberapa peraturan sesuai dengan bentuknya agar dilihat kemas dan rapi. Ini menunjukkan bahawa, pemakaian tengkolok adalah sesuatu yang ekslusif dan melambangkan kebesaran, kekuasaan serta kehebatan seseorang. Pada zaman dahulu, perbezaan bentuk, corak dan bahan yang digunakan untuk membuat atau mengikat tengkolok melambangkan status atau darjat seseorang.

No comments:

Post a Comment